Pages

Powered by Blogger.

Pages - Menu

Ads 468x60px

Sunday 12 May 2013

Plagiatisme



PLAGIATISME PUNCA KEBEJATAN INTELEKTUAL

1.0       PENGENALAN

Plagiatisme merupakan salah satu “jenayah” yang kerap berlaku di institusi pengajian tinggi dan menjejaskan integriti akademik. Matlamat mewujudkan komuniti akademik, iaitu pembangunan dari aspek intelektual dan etika akan terbantut dengan wujudnya gejala plagiatisme.  Sesebuah insititusi pengajian tinggi sama ada pelajar atau pensyarah mempunyai kebarangkalian terlibat dengan plagiatisme kerana ia boleh berlaku sama ada disengajakan atau tidak (Eng, 1995).

Menurut University of Maine Farmington, plagiarisme adalah mencuri perkataan, idea, imej atau karya-karya kreatif yang lain. Sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, plagiarisme dianggap satu jenayah yang serius di kedua-dua akademik serta profesional dunia dan akibatnya adalah sangat serius.

Kata  adalah terma yang diambil daripada kata plagiarize dalam bahasa Inggeris. Plagiarize secara etimologinya berasal daripada kata Latin plagiare yang membawa maksud menculik atau melarikan. Penggunaan terma ini dalam sejarah bahasa Inggeris telah digunakan seawal tahun 1600-an (The word detective, 2002).  Manakala terma plagiarisme pula juga berasal daripada bahasa Latin, iaitu plagiarus yang bermaksud penculik (Saunders, 1993:224).  Plagiarisme boleh didefinisikan sebagai kelakuan yang mengarah kepada menciplak dan melanggar hak moral seseorang pengarang.

Wilhoit (1994) dalam kajiannya menyatakan, tingkah laku berikut termasuk dalam plagiarisme:
(i) Membeli kertas kerja daripada syarikat perkhidmatan yang menyediakan
kertas kerja atau mendapatkan tugasan daripada gedung kertas kerja sama
ada secara bayaran atau percuma seperti dalam internet.
(ii) Meniru tugasan pelajar lain tanpa pengetahuan pelajar tersebut seperti
menyalin (copy) fail kawan daripada komputer.
(iii) Meminta bantuan daripada kawan untuk menyediakan tugasan.
(iv) Memetik maklumat dalam sesuatu rujukan tanpa pemberitahuan (tanpa
menyatakan rujukan).
(v) Memetik kata-kata atau pendapat seseorang penulis daripada sesuatu
rujukan tanpa menulis tanda petikan.
(vi) Memparafrasakan bahan daripada sesuatu sumber teks tanpa melakukan
dokumentasi yang sepatutnya.


2.0       PUNCA-PUNCA PLAGIATISME

Persepsi yang paling umum tentang plagiatisme ialah menyalin kerja orang lain perkataan demi perkataan tanpa melakukan apa-apa penyelidikan dan menamakan ia sebagai ciptaan sendiri. Penn State University menyatakan ini sebagai penyalinan borong. Walau bagaimanapun, penggabungan bahagian besar daripada sumber ke dalam tugasan atau ubahan maklumat yang tidak lengkap daripada sumber juga dianggap plagiatisme.  Ramai yang tidak memahami apa itu plagiarisme yang sebenarnya sebab itu lah gejala ini sukar untuk dibanteras.  Daripada kajian Ashworth dan Bannister (1997), para pelajar institusi pengajian tinggi didapati tidak mempunyai maklumat yang lengkap tentang tingkah laku yang dianggap sebagai plagiarisme. Ini menyebabkan gejala plagiat berleluasa di kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi.

Tekanan daripada ibubapa untuk mengatasi rakan-rakan sebaya dan kebimbangan untuk bersaing merupakan pencetus utama kepada ketakutan untuk menghadapi kegagalan.  Dalam semangat mereka untuk cemerlang, sesetengah pelajar dengan berani nya menggabungkan idea-idea orang lain di dalam tugasan mereka dengan harapan mereka tidak akan ditangkap atau percaya bahawa perubahan kecil yang mereka lakukan dalam tugasan mereka tersebut menjadikan ia nya bukan plagiat.

Penangguhan dalam menyiapkan tugasan boleh menjadi salah satu daripada sebab-sebab mengapa seseorang itu mungkin terpaksa menyalin kerja orang lain. Kadang-kadang pelajar gagal untuk merancang masa mereka dengan betul. Tekanan akademik berat telah dipetik oleh Penn State University sebagai salah satu daripada sebab-sebab mengapa pelajar memplagiat hasil karya orang lain.

Faktor kemalasan seseorang pelajar untuk memikirkan idea nya sendiri dalam melakukan tugasan mereka juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan plagiatisme hasil kerja yang menjadi milik orang lain.  Sesetengah pelajar tidak mahu memerah otak untuk memikirkan beberapa idea yang belum pernah dikemukakan oleh orang lain.  Mereka lebih cenderung untuk meniru dan menyalin idea orang lain tanpa perlu berfikir untuk mencari idea baru yang bernas.

Walaupun telah mengetahui dan mempelajari pelbagai teknik untuk mengelakkan plagiatisme, namun masih ada sebilangan besar pelajar yang tidak mahu mempraktikkannya.  Keadaan ini berterusan kerana mereka fikir bahawa mereka tidak akan tertangkap oleh mana-mana pihak dan mereka tidak mempedulikan tentang akibat atau hukuman yang bakal mereka tempuhi seandainya mereka tertangkap.  Walaupun ramai di kalangan pelajar yang mahu dan melakukan penyelidikan sendiri, mereka tidak boleh menyatakan hasil penyelidikan mereka tersebut dalam perkataan dan menggunakan ayat mereka sendiri.  Mereka tetap memerlukan ayat orang lain untuk diplagiat bagi melengkapkan penerangan mengenai penyelidikan mereka.

3.0       KESAN-KESAN PLAGIATISME

Plagiatisme adalah satu kesalahan yang serius dalam akademik dan melakukan kesalahan tersebut boleh membawa kepada kegagalan dalam sesuatu subjek.  Dalam kes-kes plagiatisme yang dilakukan secara tidak sengaja, contohnya seperti pengabaian dalam petikan sumber yang dilakukan, pensyarah boleh memilih untuk menangani kesalahan tersebut dengan merujuk kepada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini.  Pelajar dinasihatkan agar berhati-hati dalam memetik sumber dan mengaitkan idea-idea supaya tidak timbul sebarang salah faham atau tuduhan memplagiat.

Polisi plagiatisme diadakan untuk memberi garis panduan kepada pelajar-pelajar agar mereka sedar tentang hukuman yang bakal mereka hadapi jika disabitkan dengan kesalahan memplagiat.  Polisi untuk kesalahan memplagiat adalah berbeza di antara universiti, ini kerana polisi plagiat dihasilkan melalui perbincangan di antara kakitangan sesebuah university tersebut.  Namun apa yang pasti nya, pelajar yang melakukan plagiat akan dikenakan tindakan disiplin samada gagal dalam subjek tersebut, digantung daripada pengajian selama satu semester dan banyak lagi tindakan yang boleh diambil yang difikirkan relevan untuk sesuatu keadaan.

Mereka yang ditangkap melakukan plagiat akan mengalami tekanan atau kesan yang berpanjangan kerana malu reputasi mereka telah rosak.  Jika sebelum ini merka berbangga kerana kebijakan dan kepandaian mereka tetapi apabila mereka ditangkap memplagiat, mereka sedar reputasi mereka sebagai pelajar yang bijak dan pandai telah diragui.  Mereka akan dilabel sebagai pelajar yang tidak jujur.  Sebagai contoh, pada bulan Februari 2010, Gerald Posner “Bintang Harian” telah meletak jawatan sebagai Ketua Wartawan Penyiasatan selepas ia dilaporkan bahawa memplagiat lima ayat dari akhbar Miami.  Insiden tersebut mendapat perhatian umum dan Posner sendiri, beliau merupakan penulis kepda 11 buah buku, terus meletakkan jawatan kerana merasakan reputasinya telah tercemar.

Mereka yang melakukan plagiatisme juga boleh tertakluk kepada tindakan undang-undang.  Dalam kes-kes tertentu, empunya bahan atau sumber yang diplagiat boleh mendakwa orang memplagiat sumber atau bahan nya.  Mereka boleh di sabitkan dengan kesalahan pelanggaran hak cipta.  Atas sebab ini, kesan plagiatisme bukan sekadar memburukkan rekod akademik atau memburukkan reputasi anda sebagai penulis tetapi ia juga boleh mengheret anda ke makhamah.

Plagiatisme juga menunjukkan kurangnya rasa hormat pelajar terhadap pihak yang mengambil tindakan contohnya adalah pensyarah.  Pelajar sedia maklum bahawa aktiviti memplagiat akan dikenakan hukuman tetapi mereka tetap melakukannya, ia menunjukkan mereka tidak menghormati pensyarah mereka sendiri.  Selain dari itu, plagiat juga menunjukkan pelajar tidak menghormati pemilik asal sumber atau bahan yang mereka plagiat tersebut.

Pelajar yang mengamalkan plagiat juga merupakan pelajar yang tidak menghormati hak diri nya sendiri.  Mereka tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk menunjukkan kekreatifan mereka dan potensi intelektual mereka.  Mereka sekadar membiarkan idea-idea mereka terpendam dan membeku di dalam fikiran mereka tanpa memberi peluang untuk diri sendiri cuba mencapai hasil dari pemikiran mereka sendiri.  Plagiatisme juga menunjukkan cirri-ciri seorang pelajar yang tidak kisah tentang sifat kejujuran dan keikhlasan yang perlu ada dalam diri masing-masing.  Mereka tidak cuba untuk mengekalkan integriti peribadi mereka.

Apabila seseorang pelajar pernah terlibat dalam aktiviti plagiatisme, ianya akan memusnahkan motivasi dalam diri mereka untuk menyiapkan setiap tugasan mereka menggunakan idea sendiri.  Plagiatisme adalah sangat senang untuk dilakukan dan pelajar tidak memerlukan banyak masa serta tidak perlu memerah otak untuk menyiapkan tugasan mereka.  Disebabkan itu, pelajar tidak lagi mempunyai motivasi yang tinggi dalam diri mereka, mereka Cuma memikirkan tentang sesuatu yang lebih mudah dan cepat sahaja.

Apabila pelajar melakukan plagiat dalam menyiapkan tugasan mereka, pelajar tersebut secara tidak langsung samada mereka menyedari nya ataupun tidak, mereka telah menahan diri mereka daripada merebut peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai kandungan subjek yang telah dipelajari.  Secara tidak langsung, mereka juga telah kehilangan peluang untuk memantapkan kajian dan kemahiran menulis mereka.  Tugasan yang diplagiat bermakna tiada kepentingan pembelajaran yang dicapai kerana pelajar gagal mempraktikkan sepenuhnya apa yang mereka pelajari untuk menyiapkan tugasan yang diberi

4.0       CARA-CARA MENANGANI PLAGIATISME

Apabila pelajar datang, pada beberapa minggu pertama mereka perlu beberapa sesi kelas tambahan untuk berbincang mengenai rujukan dan semua perkara lain yang dirasakan perlu untuk menyiapkan sesebuah tugasan (N.Handa, 2005).  Pelajar perlu didedahkan dari awal kemasukan mereka ke institusi pengajian mengenai aktiviti plagiatisme yang perlu dielakkan oleh mereka.   Pendedahan awal akan membantu pelajar baru untuk terus memotivasikan diri mereka agar sentiasa melakukan setiap tugasan dengan hasil pemikiran sendiri.

Manakala, hasil daripada penyelidikan terhadap pelajar di India, pelajar mendedahkan bahawa mereka diajar untuk membuat penulisan berasaskan atau dengan merujuk kepada mana-mana buku dan teks dari penulis lain bagi mendapatkan markah yang tinggi (Cadman, 1997).  Pelajar perlu di ajar mengenai cara untuk menjadikan sesuatu sumber atau bahan itu sebagai rujukan mereka.  Cara penulisan rujukan yang betul akan mengelakkan mereka daripada tuduhan memplagiat.  Tidak salah merujuk sesuatu sumber kerana dalam konteks pembelajaran di universiti, pelajar digalak berbuat demikian sebagai panduan bagi meningkatkan pemahaman dalam sesuatu bidang ( Zulkifli Abu Bakar, 2009).

Seseorang pelajar itu perlu mengetahui dan memahami tentang polisi yang ditetapkan oleh pihak universiti mengenai etika dan integriti dalam penerbitan.  Pelajar tidak boleh mengambil mudah dan memandang remeh tentang polisi ini dan juga mereka perlu membuang anggapan bahawa mereka tidak akan ditangkap jika melakukan plagiat.  Pihak universiti juga memainkan peranan bagi memastikan polisi tentang etika dan integriti dalam penerbitan mudah diperolehi oleh pelajar. 

Pihak universiti boleh membantu pelajar dalam menangani masalah plagiatisme ini melalui penyediaan ruang dan peluang untuk pelajar mengikuti kursus penulisan akademik.  Kursus seperti ini dapat membantu pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam menyiapkan tugasan mereka serta dapat mengelakkan perbuatan plagiatisme yang kian berleluasa kini.  Pelajar seharusnya sentiasa peka terhadap ciri-ciri plagiatisme bagi memudahkan mereka untuk mengelak daripada melakukan perbuatan tersebut.

Selain daripada itu, pihak universiti perlu menetapkan agar setiap pelajar menyertakan surat akuan yang ditandatangani bersama dengan setiap tugasan yang dihantar kepada pensyarah mereka.  Surat akuan tersebut adalah surat mengenai perakuan pelajar yang sedia maklum dan memahami apa itu plagiatisme serta menjelaskan yang mereka tidak melakukan plagiat dalam menyiapkan tugasan mereka.  Pihak universiti perlu menyediakan format surat tersebut agar ianya dapat diseragamkan dan memuat naik ia melalui laman web universiti bagi memudahkan pelajar untuk memuat turun surat tersebut walau dimana mereka berada.

5.0       KESIMPULAN

Perbuatan plagiatisme sangat berleluasa dikalangan pelajar institusi pengajian tinggi pada hari ini.  Pendedahan awal selalu sahaja diabaikan oleh pihak university lalu menyebabkan masalah plagiatisme ini sukar untuk dibanteras.  Terdapat ramai di kalangan pelajar yang masih samar mengenai cirri-ciri plagiatisme yang sebenarnya.  Akibat daripada perbuatan plagiatisme ini, pelajar kekurangan motivasi diri untuk melakukan setiap tugasan tanpa memerlukan bantuan ayat-ayat daripada sumber atau bahan yang telah sedia ada.  Tambahan pula, sikap pensyarah yang mendorong pelajar untuk mengadakan rujukan daripada bahan dan sumber yang benar telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar mengenai plagiatisme.  Ternyata perbuatan plagiatisme menjadi punca kebejatan intelektual para pelajar kerana mereka tidak akan menggunakan idea mereka sendiri bagi menyiapkan tugasan yang diberi. 

Plagiatisme menyebabkan idea-idea baru sukar untuk diperolehi dan dihasilkan oleh generasi baru pada masa kini.  Mereka lebih cenderung untuk menyalin idea-idea penulis lain dan mencantumkannya untuk menjadikan satu tugasan seperti yang diminta oleh pensyarah mereka.  Ketajaman minda generasi baru semakin berkurangan akibat daripada berleluasa nya perbuatan plagiatisme ini.  Pihak yang terlibat dalam usaha membanteras plagiatisme di kalangan pelajar perlu memandang serius masalah ini dan perlu mengambil tindakan tegas seperti memeriksa setiap tugasan dengan menggunakan perisian anti-plagiat.  Setiap hukuman seperti yang telah ditetapkan didalam polisi setiap universiti perlu dilaksanakan agar perbuatan memplagiat hasil karya orang lain dapat dibanteras.

0 comments:

Post a Comment